Sabtu, 25 Oktober 2014 | 6:10pm

Hafiq atasi Zulfahmi, muncul pelumba terbaik negara kelayakan Moto3 di Sepang

PELUMBA Ongetta Air Asia, Zulfahmi Khairuddin (kanan) beraksi ketika sesi kelayakan Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2014 di Litar Sepang di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PELUMBA Ongetta Air Asia, Zulfahmi Khairuddin (kanan) beraksi ketika sesi kelayakan Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2014 di Litar Sepang di sini hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Bukan Zulfahmi Khairuddin, sebaliknya penunggang muda, Amirul Hafiq Azmi muncul pelumba terbaik negara ketika sesi kelayakan Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pertama kali berlumba semusim penuh di Kejuaraan Dunia tahun ini, Hafiq yang menunggang bersama pasukan SIC Ajo mencatat masa ke-16 terpantas berbanding 22 yang dicatat Zulfahmi (Ongetta Air Asia).

Dan catatan yang dilakukannya hanya ketinggalan 1.963 saat berbanding penunggang terpantas dalam kelas itu, Jack Miller dari Australia.

Penunggang Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 12.450 saat untuk merampas petak utama di Sepang diikuti pelumba Britain, John McPhee (Honda) kedua dan Jakub Kornfeil melengkapkan barisan depan.

HAFIQ yang menunggang bersama pasukan SIC Ajo mencatat masa ke-16 terpantas berbanding 22 yang dicatat Zulfahmi (Ongetta Air Asia). - Foto Goh Thean Howe
HAFIQ yang menunggang bersama pasukan SIC Ajo mencatat masa ke-16 terpantas berbanding 22 yang dicatat Zulfahmi (Ongetta Air Asia). - Foto Goh Thean Howe

"Pasukan amat membantu jadi saya amat gembira dengan sesi kelayakan hari ini. Ia adalah kelayakan paling baik pernah saya catat di Kejuaraan Dunia dan ia menambah semangat saya untuk mendapatkan keputusan yang baik esok.

"Sasaran saya esok adalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan 15 terbaik sekali gus meraih mata pertama saya di Kejuaraan Dunia namun dalam perlumbaan apa saja boleh berlaku," kata pelumba kelahiran Ampang berusia 17 tahun itu.

Selain Hafiq, pelumba wildcard negara, Ramdan Rosli turut mencatat keputusan lebih baik berbanding Zulfahmi dan bakal memulakan perlumbaan di petak ke-21, esok.

Zulfahmi yang ditemui berkata dia tidak begitu bertuah pada sesi kelayakan hari ini terutama selepas mengalami insiden di awal kelayakan dan berdepan dengan masalah brek.

"Begitupun kedudukan ke-22 tidak begitu teruk serti yang saya jangkakan dan berharap dalam mendapat keputusan yang positif esok.

"Jentera berada dalam keadaan baik, pelarasan juga baik dan berharap pasukan dapat menyelesaikan semua masalah sebelum perlumbaan," katanya.

Berita Harian X