Jumaat, 24 Oktober 2014 | 7:56pm

Hafizh bergelut, Azlan dapat berita gembira

PELUMBA Pasukan Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin sedang berbincang dengan pegawai pasukannya ketika sesi latihan bebas Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto BERNAMA
PELUMBA Pasukan Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin sedang berbincang dengan pegawai pasukannya ketika sesi latihan bebas Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto BERNAMA

SEPANG: Permulaan baik yang diharapkan penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada sesi ujian bebas Grand Prix Malaysia, hari ini tidak menjadi kenyataan apabila terpaksa bergelut dengan penyelarasan jentera.

Sekadar mencatat masa ke-20 terpantas pada sesi pertama, keadaan makin tidak menjadi buat penunggang PETRONAS Raceline Malaysia itu apabila melakukan catatan ke-27 terpantas pada sesi kedua.

"Saya sebenarnya mengharapkan sesuatu yang lebih baik pada hari ini," kata Hafizh yang tidak menamatkan perlumbaan GP Australia akibat masalah kesihatan.

"Kami bermula dengan agak baik pada sesi ujian pertama namun bergelut pada sesi kedua terutama dengan masalah suspensi. Beraksi dalam keadaan litar basah sepatutnya memberi sedikit kelebihan namun ia tidak menjadi.

"Saya berharap kami dapat mencari punca masalah dan memperbaikinya untuk kembali bangkit terutama pada sesi kelayakan esok.

"Sasaran saya adalah sekurang-kurangnya untuk berada di kelompok 15 terbaik pada sesi kelayakan untuk bersaing dengan kelompok depan ketika perlumbaan nanti," katanya.

Penunggang Marc VDS Racing, Esteve Rabat menguasai sesi latihan bebas kedua manakala penunggang Perancis, Johann Zarco (AirAsia Caterham) menguasai sesi ujian pertama.

Dalam pada itu, ada berita baik dikhabarkan daripada seorang pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman apabila pasukan IDEMITSU Honda Team Asia dikatakan sudah mengesahkan kedudukannya bersama pasukan itu, musim depan.

Azlan mencatat masa ke-31 terpantas pada kedua-dua sesi ujian bebas hari ini.

Berita Harian X