Sabtu, 18 Oktober 2014 | 7:05pm
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdulah.
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdulah.

Barisan keenam buat Hafizh di GP Australia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengharapkan permulaan yang sempurna di perlumbaan Grand Prix Australia, esok selepas sekadar menamatkan sesi kelayakan, hari ini di petak ke-17.

Dihambat dengan pelarasan kurang meyakinkan, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu gagal menempatkan diri di kedudukan lebih baik selepas mencatat masa terbaik 1 minit 33.349 saat.

Sekalipun hanya ketinggalan 0.879s di belakang penunggang Marc VDC Racing, Esteve Rabat yang mendominasi sesi kelayakan dengan 1'32.470s, catatan dilakukannya Hafizh menyaksikannya memulakan perlumbaan di barisan keenam di Litar Phillip Island itu.

Johann Zarco (AirAsia Caterham) mencatat masa kedua terpantas dengan masa 1'32.485s manakala rakan sepasukan Rabat, Mika Kallio ketiga, 1'32.698s.

"Pada 10 minit terakhir, keadaan agak sukar untuk saya mendapatkan masa yang lebih baik kerana pelumba tersekat dalam kelompok yang ramai," kata Hafizh.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keadaan jentera cuma dari segi kelajuan mungkin ia masih belum mencukupi.

"Kami akan berbincang dan melihat apa yang boleh dilakukan oleh jurutera pasukan. Saya perlu bermula dan mendapatkan kedudukan baik dari awal perlumbaan untuk berada di kelompok utama," katanya.

Dalam pada itu, malang buat seorang lagi penunggang negara dalam kelas Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman apabila masalah kecederaan yang diraihnya pada sesi ujian bebas semalam menghalangnya daripada berlumba, esok.

Azlan yang menunggang bersama pasukan Honda Asia tidak melalui sesi kelayakan, hari ini.

Berita Harian X