Ahad, 12 Oktober 2014 | 7:00pm

Najib mahu pemain golf Malaysia cipta nama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) turut menyaksikan pukulan Putting oleh pemain China, Shanshan Feng pada hari terakhir kejohanan LGPA di KLGCC, hari ini. - Foto Osman Adnan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) turut menyaksikan pukulan Putting oleh pemain China, Shanshan Feng pada hari terakhir kejohanan LGPA di KLGCC, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat pemain golf Malaysia mencipta nama di pentas dunia.

Beliau berkata ini boleh dicapai menerusi sokongan berterusan terhadap sukan itu daripada kerajaan dan perbadanan yang sehaluan seperti Sime Darby Berhad.

"Sime Darby sentiasa menyokong pembangunan pemain golf muda kita dan diharapkan satu hari nanti kita akan menyaksikan lebih banyak pemain Malaysia bertanding (dalam kejohanan golf antarabangsa).

"Dan adalah menjadi hasrat saya untuk membawa sukan golf di Malaysia ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia 2014 di Bukit Kiara di sini, hari ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kiri) menyampaikan trofi kemenangan kepada pemain golf China, Shanshan Feng selepas muncul juara dalam Kejohanan Sime Darby Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) Malaysia 2014 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) Bukit Kiara di sini, hari ini. - Foto Osman Adnan

Najib mengucapkan tahniah kepada Feng Shanshan dari China yang mengatasi lebih 70 peserta pada kejohanan selama empat hari ini untuk memenangi hadiah utama AS$300,000 dan trofi.

Pada kejohanan ini, Malaysia diwakili enam pemain golf profesional iaitu Jean Chua, Ainil Johani Abu Bakar, Michelle Koh, Kelly Tan, Aretha Pan dan Michele Low.

Bakat tempatan berkenaan diberikan tiket pengecualian penaja untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Najib mengambil perhatian kejohanan LGPA, yang menarik penyertaan pemain golf antarabangsa berkaliber tinggi sudah menjadi jenama bagi Malaysia dan dengan itu kejohanan perlu diteruskan pada masa depan. - BERNAMA

Berita Harian X