Sabtu, 11 Oktober 2014 | 6:57pm

Moto2: Barisan keenam untuk Hafizh di GP Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh Moto2 negara, Hafizh Syahrin akan memulakan perlumbaan Grand Prix Jepun, esok di barisan keenam selepas menamatkan sesi kelayakan selaku pelumba ke-17 terpantas, hari ini.

Ia boleh dianggap sesi kelayakan sukar buat pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu di Litar Twin Ring Motegi selepas berdepan sakit tekak ketika bangkit daripada tidur.

Sekalipun bergelut dengan kesakitan, Hafizh enggan menjadikannya alasan dan menamatkan sesi kelayakan dengan catatan 1 minit 51.761 saat yang turut memperbaiki catatan pada sesi latihan terakhir di sebelah pagi.

Seperti dijangka, penunggang pasukan Marc VDS Racing, Esteve Rabat merangkul petak pertama dengan mencatat rekod baru litar 1:50.854s di depan Thomas Luthi (Interwetten Sitag) yang ketinggalan 0.033s manakala penunggang AirAsia Caterham, Johann Zarco melengkapkan barisan depan.

AKSI pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah (depan) ketika sesi latihan bebas ketiga GP Jepun, hari ini. - Foto AFP
AKSI pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah (depan) ketika sesi latihan bebas ketiga GP Jepun, hari ini. - Foto AFP

"Saya merasa lega apabila jentera sudah berfungsi dengan baik.

"Saya cuba sebaik mungkin di penghujung sesi kelayakan dan catatan masa 1:51.761s yang boleh dianggap masa yang baik buat saya.

"Begitupun, saya mampu melakukan lebih baik jika Ratthapark Wilarot tidak terjatuh di depan saya ketika saya cuba melakukan masa yang terbaik.

"Selain itu, sukar untuk saya mendapatkan masa yang baik kerana ada begitu ramai penunggang di atas litar disebabkan keadaan litar ini dan mereka juga banyak berkumpul bersama.

"Ia menyebabkan untuk memintas adalah sesuatu yang hampir mustahil. Apapun, saya akan melakukan yang terbaik esok," katanya.

Keputusan kelayakan Moto2 GP Jepun:

1 Esteve Rabat (SPA) 1'50.854s

2 Thomas Luthi (SWI) 1'50.887s

3 Johann Zarco (FRA) 1'51.157s

4 Maverick Vinales (SPA) 1'51.222s

5 Mika Kallio (FIN) 1'51.312s

MALAYSIA

17 Hafizh Syahrin, 1'51.761s

33 Azlan Shah Kamaruzaman, 1'53.401s

Berita Harian X