Ahad, 14 September 2014 | 11:04pm
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Moto2: Hafizh kecewa tamat perlumbaan GP San Marino di kedudukan ke-20

MISANO: Hari yang boleh dianggap sukar buat pelumba Moto2 pasukan Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah apabila sekadar menamatkan perlumbaan di Grand Prix San Marino di kedudukan ke-20, hari ini.

Hafizh yang sebelum ini turut berdepan kecewa pada sesi kelayakan selepas mencatat masa ke-25 terpantas sekali lagi terpaksa bergelut dengan pelarasan jentera kurang sempurna sepanjang perlumbaan di Litar Misano itu.

Di tambah dengan reka bentuk litar yang sukar untuk memintas, ia tidak memberi kelebihan buat Hafizh yang gagal menambah 29 mata kejuaraan mata yang dikumpulnya sebelum ini.

"Saya tidak berpuas hati dengan perlumbaan ini kerana saya tahu saya boleh melakukan lebih baik daripada kedudukan ke-20," kata pelumba berusia 20 tahun itu.

"Selain itu, saya juga tidak memperoleh permulaan yang baik yang menyebabkan saya kehilangan beberapa kedudukan pada selekoh pertama.

"Jika kami dapat melakukan lebih banyak ujian dalam keadaan litar kering pada sesi Jumaat lalu, kami mungkin mampu mendapat pelarasan yang ideal untuk jentera pada hari perlumbaan.

"Jentera nampak baik pada awal pusingan namun bahagian belakang jentera kehilangan seretan yang menghalang saya memberi lebih tekanan pada awal pusingan. Apapun, ia adalah pengajaran yang baik buat saya dan saya sentiasa mahu belajar," kata Hafizh.

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Barry Leong turut mengakui ia bukan hari yang terbaik buat Hafizh yang tidak memperoleh pelarasan di litar kering yang sempurna akibat kekurangan masa.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang beraksi bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-32.

Penunggang pasukan Marc VDS Racing, Esteve Rabat dari Sepanyol muncul juara selepas mencatat masa 42 minit 48.724 saat diikuti rakan sepasukannya, Mika Kallio dari Finland, kedua.

Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba pasukan AirAsia Caterham Motor Racing, Johann Zarco. - BERNAMA

Berita Harian X