Khamis, 11 September 2014 | 8:09am
PENGERUSI Ferrari Luca Cordero. - Foto EPA
PENGERUSI Ferrari Luca Cordero. - Foto EPA

Pengerusi Ferrari letak jawatan

MARANELLO: Pengerusi pengeluar kereta sport mewah Itali, Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo meletak jawatan dan akan digantikan ketua daripada anak syarikat kumpulan Fiat selepas kedua-dua personaliti itu bertelagah berkaitan strategi dan prestasi buruk pasukan Formula Satu (F1) mereka.

Montezemolo yang dianggap salah seorang tokoh berpengaruh di Itali dan ahli perniagaan paling berjaya serta anak didik keluarga pengasas Fiat, Agnelli akan meletak jawatan mulai 13 Oktober depan.

Pada hari itu, syarikat gabungan terbaharu, Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dijangka disenaraikan di Bursa Saham New York.

Ketua Eksekutif Fiat, Sergio Marchionne berharap daya tarikan Ferrari iaitu salah satu jenama mewah terkenal di dunia akan membantu menarik minat pelabur Amerika Syarikat dalam syarikat baharu berkenaan.

Montezemolo, 67, menjadi Pengerusi Ferrari selama 23 tahun dan menjadi tonggak kejayaan Michael Schumacher ketika menjulang gelaran F1 dunia sebanyak lima kali dan Kimi Raikkonen sekali. - Agensi

Berita Harian X