Khamis, 4 September 2014 | 10:12pm

Sukan Asia: Skuad boling tekad ulangi pencapaian dua emas

PETALING JAYA: Skuad boling negara ke Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan, berhajat untuk mengulangi pencapaian dua pingat emas yang dilakarkan pada temasya edisi 2010 di Guangzhou, China.

Ketua jurulatih negara, Holloway Cheah berkata skuad negara yang dibarisi 12 pemain termasuk enam wanita kini boleh dianggap 80 peratus bersedia dan semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan.

Skuad negara kini menjalani latihan fasa akhir bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2014 yang bermula 19 September hingga 4 Oktober ini.

Cheah berkata latihan fasa akhir memberi tumpuan kepada semua jenis 'pola minyak' yang terdapat pada lorong dan juga membuat penyesuaian pemilihan bola mengikut kesesuaian lorong.

"Kondisi lorong sentiasa berubah. Kita perlu ada peralatan yang bersesuaian. Dari segi pemain pula, mereka semuanya sudah bersedia secara mental dan tiada kecederaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat boling Sunway Megalanes di Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Pada Sukan Asia 2010, skuad negara memperoleh empat pingat iaitu dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Cheah berkata setiap pemain dalam skuad negara mempunyai peluang yang sama untuk merangkul pingat emas dan ia bergantung kepada prestasi balingan pada hari pertandingan.

Enam pemain lelaki yang bakal menggalas cabaran negara ialah Adrian Ang, Alex Liew, Zulmazran Zulkifli, Muhd Syafiq Ridhwan, Rafiq Ismail dan Timmy Tan Chye Chern.

Sementara skuad wanita pula diketuai pemain senior, Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Hee Kar Yen.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta ketua kontinjen ke Sukan Asia, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meninjau persediaan skuad boling negara.

Khairy yang ditemui pemberita berkata beliau mahu semua pemain boling bukan sahaja mempersiapkan diri secara teknikal tetapi perlu juga memberi perhatian kepada kecergasan diri.

"Kita meletakkan sasaran tinggi untuk skuad boling di Sukan Asia. Bagaimanapun sasaran pingat, kita akan umumkan kemudian," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X