Isnin, 25 Ogos 2014 | 4:50pm

Olimpik Remaja: Kirth kecewa gagal sumbang pingat acara lompat kijang

NANJING: Atlet lompat kijang pelapis wanita negara, R Kirthana yang beraksi pada pusingan akhir kategori A acara itu pada Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014), meluahkan rasa kecewa gagal menyumbang pingat untuk skuad olahraga negara.

Gadis yang lebih mesra dengan panggilan 'Kirth' menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan sejauh 12.64 meter pada aksi final di Stadium Olimpik Nanjing.

Pingat emas acara tersebut menjadi milik Yanis Esmeraida David dari Perancis dengan lompatan 13.33m manakala wakil Australia, Tay Leiha Clark (13.06m) meraih perak dengan gangsa menjadi miliki Eszter Bajnok (13.01m) dari Hungary.

"Saya rasa terkilan kerana gagal mempersembahkan aksi terbaik hari ini apabila hilang fokus ketika membuat lompatan.

"Hari ini semua tidak menjadi apabila saya banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku tadi.

"Saya ingin memohon maaf kepada jurulatih, keluarga, rakan-rakan dan semua rakyat Malaysia kerana gagal menambah koleksi pingat untuk Malaysia hari ini," katanya pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Kirth yang menjadi wakil tunggal negara Asia Tenggara yang layak ke final kategori A bagi acara tersebut, berkata sepatutnya sebutir pingat mampu diraih olehnya hari ini namun keadaan tidak menyebelahinya.

Dia yang masih menderita kesakitan akibat kecederaan pada bahagian kaki kiri turut rasa terkilan kerana gagal membaiki catatan rekod terbaik peribadinya 13.06m pada Kejohanan Olahraga Asia di Thamssat, Thailand, Mei lalu. - BERNAMA

Berita Harian X