X
Khamis, 21 Ogos 2014 | 6:11pm

Sukan ASIA: Malaysia dalam kumpulan maut

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) bakal berdepan tugas berat untuk memburu slot suku akhir acara bola sepak pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan, apabila diundi dalam kumpulan maut bersama dua gergasi Asia.

Laluan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu menepati sasaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu cukup berliku apabila diundi bersama tuan rumah Korea Selatan, Arab Saudi serta Laos dalam Kumpulan A.

Dalam undian di Grand Ballroom, Hotel Harbour Park, Incheon, hari ini, juara bertahan Jepun diundi dalam Kumpulan D bersama Kuwait, Iraq dan Nepal manakala juara Piala AFF, Singapura dalam Kumpulan C bersama Oman, Palestin dan Tajikistan.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan teratas daripada setiap lapan kumpulan layak ke pusingan kedua pada pertandingan yang bermula 14 September hingga 3 Oktober ini di enam stadium di sekitar bandaraya Incheon.

Bermula edisi 2002 di Busan, Korea Selatan, setiap pasukan dibenarkan menggunakan maksimum tiga pemain berusia lebih 23 tahun.

Pada edisi 2010 lalu di Guangzhou, China, Malaysia gagal layak ke suku akhir selepas menghuni tempat ketiga kumpulan setelah kalah 3-1 kepada Iran pada peringkat kumpulan.

Pada saingan tempat ketiga/keempat, Korea Selatan menewaskan Iran 4-3 untuk merangkul pingat gangsa.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam siri Sukan Asia ialah meraih pingat gangsa pada temasya 1962 di Jakrta, Indonesia, dan 1974 di Tehran, Iran.

Skuad Harimau Muda A kini berada di Australia bagi menyertai Liga Perdana Kebangsaan Queensland sejak Mac lalu.

Pengurus pasukan Datuk Seri Afandi Hamzah, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebelum ini dilaporkan berkata pasukan negara itu akan berlepas ke China pada 8 September untuk satu aksi pemanas badan sebelum ke Incheon pada 10 September.

Keputusan penuh undian bola sepak Sukan Asia 2014:

---------------------------------------------------

Kumpulan A: Korea Selatan, MALAYSIA, Arab Saudi, Laos

Kumpulan B: Uzbekistan, Hong Kong, Bangladesh, Afghanistan

Kumpulan C: Oman, Palestin, Singapura, Tajikistan

Kumpulan D: Jepun, Kuwait, Iraq, Nepal

Kumpulan E: Thailand, Maldives, Timor-Leste, Indonesia

Kumpulan F: Korea Utara, China, Pakistan

Kumpulan G: Emiriyah Arab Bersatu(UAE), India, Jordan

Kumpulan H: Iran, Vietnam, Kyrgyzstan

- BERNAMA

Berita Harian X