Isnin, 22 Mei 2017 | 1:17pm

Banduan jumpa keluarga sebelum Kaamatan

BANDUAN, Along (bukan nama sebenar) memeluk ibunya ketika dipertemukan dalam Program Jalinan Kasih sempena sambutan Kaamatan di Penjara Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom
BANDUAN, Along (bukan nama sebenar) memeluk ibunya ketika dipertemukan dalam Program Jalinan Kasih sempena sambutan Kaamatan di Penjara Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: "Saya sudah lama menanti untuk bertemu ahli keluarga dan memeluk ibu untuk melepaskan rindu."

Along (bukan nama sebenar) adalah antara lima banduan yang terpilih bertemu keluarga menerusi Program Jalinan Kasih sempena sambutan Kaamatan di Penjara Sandakan di sini, hari ini.

Along, 24, yang menjalani hukuman penjara enam tahun lapan bulan atas kesalahan merogol berkata, ia kali kedua dia dapat bertemu keluarga secara bersemuka selama berada di penjara sejak 2014.

"Saya tak lena tidur sejak seminggu lalu selepas diberitahu terpilih untuk berjumpa keluarga. Saya mahu berjumpa ibu dan melepaskan rindu," kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Program terbabit dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk Charles Pang Su Pin.

Yang turut hadir ialah Pengarah Penjara Sandakan, Penolong Komisioner Zulkifli Abdul Manah.

Udin, 35, bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun mengakui merindui anak, isteri dan ibu bapanya selama berada di penjara sejak dua tahun lalu.

Dia turut menanam azam tidak mengulangi kesilapan lalu apabila dibebaskan kelak.

"Saya menyesali kesilapan lalu hingga isteri terpaksa menyara keluarga," katanya yang turut berkesempatan menemui keluarga.

Sementara itu, Su Pin dalam ucapannya berkata, program berkenaan perlu diteruskan bagi memberi peluang banduan bertemu keluarga, sekali gus menjadi dorongan kepada mereka menjalani pemulihan dan tidak mengulangi kesalahan apabila dibebaskan.

Berita Harian X