Sabtu, 18 March 2017 | 9:59pm

Hilton pelengkap pertumbuhan ekonomi Sabah

DATUK Seri Musa Aman (tengah) bersama Pengarah Pekah Hotels Sdn Bhd, Peter Cantwell (tiga dari kiri) dan Pengurus Besar Wilayah Hotel Hilton dan Resort Malaysia, Jamie Mead (kiri) di Majlis Perasmian Hotel Hilton Kota Kinabalu. Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (kanan). - Foto Malai Rosmah Tuah
DATUK Seri Musa Aman (tengah) bersama Pengarah Pekah Hotels Sdn Bhd, Peter Cantwell (tiga dari kiri) dan Pengurus Besar Wilayah Hotel Hilton dan Resort Malaysia, Jamie Mead (kiri) di Majlis Perasmian Hotel Hilton Kota Kinabalu. Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun (kanan). - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pembukaan Hotel Hilton Kota Kinabalu, rantaian Hilton kesembilan di Malaysia serta pertama di negeri ini, menjadi pelengkap pertumbuhan ekonomi yang pesat di Sabah, khususnya di ibu negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata selain menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini, pembukaan Hotel Hilton Kota Kinabalu juga bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi Sabah.

Katanya, usaha mengembangkan ekonomi negeri bukan saja melalui pembangunan infrastruktur, malah perkhidmatan sokongan seperti pembukaan hotel terkemuka.

"Bidang pelancongan terus menjadi penyumbang ekonomi utama di Sabah dan kerajaan komited membangunkan lagi sektor ini bersama entiti swasta.

"Sabah memiliki banyak produk pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong, dari destinasi alam semula jadi, budaya dan makanan, selain pilihan membeli-belah. Ada sesuatu istimewa di negeri untuk dilawati pelancong," katanya ketika merasmikan hotel berkenaan di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengurus Besar Wilayah Hotel Hilton dan Resort Malaysia, Jamie Mead dan Pengarah Pekah Hotels Sdn Bhd, Peter Cantwell.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata 2016 adalah tahun terbaik dari segi kedatangan pelancong ke Sabah iaitu 3.43 juta dengan anggaran RM7.25 bilion pendapatan, melepasi rekod terbaik tahun 2013 dengan 3.38 juta pelawat.

"Ia peningkatan 15.4 peratus ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun lalu berbanding 2015, dengan China kekal penyumbang utama iaitu 33.2 peratus," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak bilik hotel diperlukan untuk menampung pertambahan pengunjung setiap tahun dengan pembukaan Hotel Hilton Kota Kinabalu yang berkapasiti 305 bilik dianggap tepat pada masanya.

"Saya mengambil kesempatan ini menyarankan kepada hotel dan resort di Sabah untuk mewujudkan tarikan tersendiri dengan menawarkan sesuatu yang berbeza kepada tetamu.

"Pada masa sama, saya ingin melihat operator hotel dan resort meningkatkan tahap piawaian supaya tetamu akan kembali ke Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian biologi, persekitaran bersih dan destinasi alam semula jadi," katanya.

Berita Harian X