Isnin, 13 March 2017 | 8:58pm

Orang Utan ke-6 lahir di pusat perlindungan

KETUA Pegawai Eksekutif, Sarawak Forestry, Wong Ting Chung, (kanan) menyampaikan gambar orangutan sebagai cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Mitshubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi, (kiri) selepas Majlis Penyerahan Kereta Mitshibishi Triton 4x4 Pick-up Truck di Matang Wildlife Centre.- Foto Che Rani Che Din
KETUA Pegawai Eksekutif, Sarawak Forestry, Wong Ting Chung, (kanan) menyampaikan gambar orangutan sebagai cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Mitshubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi, (kiri) selepas Majlis Penyerahan Kereta Mitshibishi Triton 4x4 Pick-up Truck di Matang Wildlife Centre.- Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang di sini, mencatat sejarah baharu apabila menerima kelahiran anak Orang Utan yang keenam, semalam.

Anak Orang Utan jantan itu dilahirkan ibunya, Tingsan, pada jam 10 pagi semalam, sekali gus menjadikan sejumlah 31 Orang Utan berada di pusat perlindungan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Wong Ting Chung, berkata Tingsan yang berusia 12 tahun juga berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan menjaga anaknya selepas mengambil kira status kesihatan, selain sedang dipantau rapi pakar perlindungan mamalia terbabit.

"Kitaran pembiakan orang utan adalah unik kerana membabitkan tempoh panjang atau hampir 10 tahun. Justeru, kelahiran anak Orang Utan jantan itu adalah manifestasi kejayaan SFC melindungi spesies itu daripada terus terancam. Sehingga kini, populasi orang utan di Sarawak berjumlah 2,500 ekor.

"Selain di Matang, habitat orang utan yang dilindungi turut berada di Semenggoh, Kuching, dan Batang Ai, Sri Aman," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda Mitsubishi Triton oleh Mitsubishi Motor Malaysia kepada SFC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motor Malaysia, Tomoyuki Shinnishi.

Sementara itu, Ting Chung, berkata kesan daripada kesedaran semakin tinggi melindungi haiwan terancam dalam kalangan penduduk di negeri ini, pusat perlindungan, di sini, dan Semenggoh berdepan kekangan dari segi kapasiti dan proses pemulihan termasuk pengangkutan.

"Sumbangan kenderaan dari syarikat Mitsubishi adalah tepat pada masanya demi memastikan aset itu mampu dioptimumkan penggunaannya terutama dalam proses mengangkut dan memindahkan hidupan liar kembali ke habitat asal," katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu juga akan digunakan bagi proses rondaan dalam kawasan perlindungan sebagai langkah pencegahan mengekang pencerobohan terutama dari pembalak haram.  

Berita Harian X