Jumaat, 13 Januari 2017 | 4:29pm

5 rumah hangus di Petagas

KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah, Petagas. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah, Petagas. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah

PUTATAN: Kira-kira 20 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Lama, Petagas, di sini, petang tadi.

Kebakaran yang bermula kira-kira jam 2 petang itu turut memusnahkan tiga kereta milik penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Akramin Sakirun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 2.15 petang tadi.

"Pada mulanya panggilan yang diterima mengatakan kebakaran lalang tetapi 15 minit selepas itu, satu panggilan lagi diterima mengatakan kebakaran rumah di Kampung Muhibbah.

"Ketika tiba pada jam 2.45 petang, api sedang merebak dan kebakaran dapat dikawal 10 minit kemudian," katanya ditemui di lokasi kebakaran, di sini, sebentar tadi.

Akramin berkata, seramai 33 anggota termasuk tujuh anggota bomba Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Lok Kawi dengan empat jentera terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih disiasat, manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berita Harian X