Ahad, 4 Disember 2016 | 11:53am

3 ditahan bersama syabu RM26,000

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Kinabalu Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Ruzaini Zulkepli
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Kinabalu Asisten Superintendan Samsualan Samsudin (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Ruzaini Zulkepli

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat 201.18 gram bernilai RM26,000 dalam dua serbuan berasingan di Kompleks Sinsuran di sini, petang Jumaat lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 44 tahun itu ditahan antara jam 6.10 petang hingga 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata hasil maklumat dan risikan, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Kompleks Sinsuran pada jam 6.10 petang.

"Susulan pemeriksaan ke atas pacuan empat roda (4WD) dipandu suspek, polis menemui satu plastik berisi dadah jenis syabu seberat 100.41 gram yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

"Penahanan suspek pertama membawa kepada serbuan kedua selang 20 minit kemudian ke atas sebuah kereta jenis Nissan Almera, tidak jauh dari lokasi serbuan pertama.

"Ketika serbuan, pemandu kereta cuba bertindak agresif apabila hampir merempuh anggota polis untuk meloloskan diri namun tersekat akibat kesesakan lalu lintas sebelum dua suspek ditahan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Chandra berkata, polis merampas sebuah plastik hitam berisi dadah jenis syabu seberat 100.77 gram selepas dua suspek berkenaan ditahan.

"Polis turut merampas beberapa barang kemas dan wang tunai RM500 manakala semua suspek direman sehingga 9 Disember ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X