Jumaat, 18 November 2016 | 11:31am

Syabu bernilai RM156,000 dirampas

KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini merampas kira-kira 1.2 kilogram syabu dianggar bernilai RM156,000 selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, semalam dan kelmarin.

Suspek pertama berusia 50 tahun ditahan di Jesselton Point, di sini, pada jam 10 pagi kelmarin, manakala suspek kedua dan ketiga berumur 42 dan 45 tahun ditahan di sebuah pusat Urut di Api-Api Centre.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketiga-tiga lelaki itu dipercayai ahli kumpulan sindiket pengedaran dadah dan polis masih menyiasat kemungkinan ada anggota yang masih bebas.

Beliau berkata, siasatan ke atas suspek pertama membawa kepada penemuan tujuh paket lutsinar berisi hablur putih disyaki syabu seberat 351.47 gram yang disembunyikan dalam peti simpanan sebuah motosikal.

"Pada hari sama, polis menggeledah bilik sewa suspek di Api-Api Centre dan menemui 13 paket sama seberat 660.71 gram yang disimpan dalam sebuah peti besi, selain wang tunai RM43,000.

"Berdasarkan maklumat, polis menahan suspek kedua dan ketiga semalam dan hasil siasatan, suspek membawa polis ke sebuah pejabat di tingkat lapan Kompleks Karamunsing.

"Polis menemui empat paket lutsinar berisi hablur putih seberat 199.1 gram disimpan dalam kotak disembunyikan di siling pejabat berkenaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Polis turut merampas dua kenderaan iaitu Toyota Velfire dan Toyota Vios serta sebuah basikal.

Nilai rampasan kenderaan termasuk wang tunai ialah RM214,000, manakala dadah bernilai RM156,000.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 4 (Pelucutan Harta) Akta Dadah Berbahaya 1988.

Berita Harian X