Sabtu, 29 Oktober 2016 | 1:07pm
PDRM logo
PDRM logo

Suspek samun kedai serbaneka ditahan

KOTA KINABALU: Selepas hampir seminggu diburu, seorang lelaki dipercayai suspek kes samun kedai serbaneka 24 jam di pusat beli-belah Centre Point di sini, awal minggu ini, ditahan semalam.

Suspek berumur 19 tahun itu ditahan di laluan pejalan kaki Asia City berhadapan Centre Point di sini, pada jam 11.35 malam tadi selepas kehadirannya disedari pengawal keselamatan yang segera menghubungi polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata suspek cuba melarikan diri ketika dihampiri polis namun dapat ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Sepasukan anggota yang dibantu pengawal keselamatan pusat beli-belah itu menghampiri suspek yang duduk di laluan pejalan kaki terbabit dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis kepada lelaki berkenaan.

"Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri dan mengeluarkan sebilah pisau dari kocek belakang seluar lalu dicampak ke lantai laluan pejalan kaki.

"Dia dapat ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chandra berkata, suspek mengaku terbabit dalam kes samun kedai 24 jam terbabit, namun wang yang dirompak berjumlah RM456 digunakan untuk membayar sewa rumah dan barangan harian dengan hanya berbaki RM54.

"Suspek mengaku topi keledar yang digunakan ketika melakukan samun dicuri dari sebuah motosikal di Centre Point," katanya.

Pada 24 Oktober lalu, suspek memasuki kedai serbaneka itu pada jam 1.50 pagi sebelum mengacukan pisau kepada juruwang sambil meminta mangsa menyerahkan wang dalam mesin juruwang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak dan mengugut bersenjata.

Berita Harian X