Khamis, 27 Oktober 2016 | 2:33pm

Restoran makanan segera berciri tempatan mampu tarik pelancong

MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Jualan Borenos Sabah, Janice Yeo ketika majlis perasmian Cawangan Borenos Fried Chicken di pusat beli-belah Centre Point, Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Mohd Adam Arinin
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Jualan Borenos Sabah, Janice Yeo ketika majlis perasmian Cawangan Borenos Fried Chicken di pusat beli-belah Centre Point, Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Syarikat tempatan digesa lebih aktif menceburi perniagaan makanan segera bagi merancakkan lagi industri itu di Sabah, sekali gus bersaing dengan restoran makanan besar lain terutama jika memiliki citarasa negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata perniagaan seumpama itu boleh dijadikan antara tarikan kepada pelancong di Sabah, seterusnya mengetengahkan produk tempatan.

"Saya berharap lebih banyak pihak sama ada syarikat atau individu mengikut jejak langkah pengusaha makanan segera sedia ada di Sabah supaya dapat memeriahkan lagi industri ini.

"Kita yakin restoran makanan segera dari negeri ini mampu bersaing dengan restoran besar lain kerana setiap produk dipasarkan pastinya mempunyai keistimewaan dan peminat tersendiri," katanya ketika merasmikan Cawangan Borenos Fried Chicken di pusat beli-belah Centre Point, di sini, sebentar tadi.

Borenos Fried Chicken, restoran makanan segera berasaskan ayam goreng yang diusahakan usahawan tempatan dilancarkan pada Mac tahun lalu dengan cawangan pertama dibuka di Asia City, di sini.

Sementara itu, Pengarah Jualan Borenos Sabah, Janice Yeo, berkata produk dipasarkan pihaknya sentiasa mendapat sambutan baik dan pilihan pelanggan khususnya penggemar makanan berasaskan ayam goreng di bandar raya ini.

"Kita percaya dengan pembukaan cawangan Borenos terbaharu ini, kita boleh meluaskan lagi pasaran dan mendapat pelanggan baharu," katanya.

Berita Harian X