Selasa, 16 Ogos 2016 | 1:24pm

Warga tua parah dihempap pokok getah

TUARAN: Seorang warga tua cedera parah dihempap pokok getah ketika menebang pokok berkenaan di kebunnya di Kampung Rungus Gayaratau, Tamparuli, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Gustin Munggai, 60, dikatakan membersihkan kebunnya dan menebang pokok getah terbabit sebelum ia tumbang lalu menghempapnya.

Kejadian disedari anaknya yang berada di kebun berkenaan apabila mendengar bapanya menjerit meminta tolong.

Bagaimanapun, lokasi kejadian di lereng bukit yang curam menyukarkan anaknya membantu mengalihkan mangsa dari bawah pokok lalu menghubungi bomba dan penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Mohd Asnan Led, berkata pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 7.43 malam tadi dengan menghantar dua kenderaan utiliti bersama tujuh anggota.

"Ketika bomba tiba pada jam 8.15 malam, kita dapati kedudukan kebunnya di kawasan curam berhampiran kaki bukit kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.

"Mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan dibantu orang kampung.

"Mangsa cedera parah di badan diangkat menggunakan pengusung dan dibawa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 9 malam tadi.

Berita Harian X