Khamis, 9 Jun 2016 | 2:14pm

Sabah hargai komitmen PETRONAS taja pelajar

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memuji komitmen PETRONAS yang terus melaksanakan program penajaan, bantuan dan inisiatif kepada pelajar Sabah, walaupun berdepan cabaran kelembapan ekonomi global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan negeri turut menghargai inisiatif PETRONAS yang komited dan konsisten memikul tanggungjawab sebagai warga korporat.

"Saya berharap pelajar yang menerima anugerah ini memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang diberikan untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya yakin penajaan pendidikan ini mampu melahirkan pelajar cemerlang di negeri ini.

"Selain terus komited dalam aspek penajaan pendidikan, PETRONAS menunaikan tanggungjawab sosial korporat, antaranya tajaan lima Sekolah Amanah di Kimanis dengan kerjasama Yayasan Amir," katanya ketika merasmikan penyampaian Anugerah Program Tajaan Pendidikan PETRONAS 2016 di sini, sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Exco Pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun. Yang turut hadir ialah Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Pengarah Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul.

Sementara itu, Mohd Sidek berkata, PETRONAS akan terus memperkasakan Sabah dan rakyatnya menerusi inisiatif mampan berasaskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kebajikan, pembangunan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

"Majlis ini adalah antara manifestasi kepada komitmen PETRONAS di Sabah untuk pembangunan berteraskan pendidikan yang memberi impak positif kepada kemakmuran sosioekonomi jangka panjang negeri ini," katanya.

Terdahulu, Masidi menyampaikan Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS (PESP) kepada 28 daripada 40 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

Berita Harian X