Jumaat, 27 Mei 2016 | 6:31pm

Geng Yuyu tumpas

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistan Kominisioner M. Chandra menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam bahagian kiri belakang mangsa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistan Kominisioner M. Chandra menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam bahagian kiri belakang mangsa pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Yuyu yang aktif dalam kegiatan pecah rumah, samun dan curi kereta sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran susulan penahanan lima anggotanya, Rabu lalu.

Semua suspek berusia 26 hingga 50 tahun termasuk seorang wanita, ditahan dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Taman Putera Jaya, Telipok dan Beverly Hills, Penampang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata semua suspek ditahan susulan laporan polis oleh sepasang kekasih yang disamun sebelum kenderaan mereka dilarikan di tempat letak kenderaan Taman Awam Teluk Likas kira-kira jam 1.15 pagi, Selasa lalu.

Katanya, polis menemui semula Hyundai Atos milik mangsa di tepi jalan di Taman Putera Jaya sebelum menahan empat suspek di sebuah rumah pada jam 2.15 pagi Rabu lalu, susulan maklumat serta risikan.

"Hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi anggota kumpulan itu berusia 50 tahun di sebuah rumah di Beverly Hills, Penampang pada jam 4 pagi hari sama.

"Susulan itu, polis merampas dua kenderaan, sebuah motosikal, telefon bimbit, jam tangan, pisau, pedang samurai dan pelbagai barangan lain disyaki hasil kegiatan samun serta pecah rumah," katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Chandra berkata, empat daripada suspek didapati positif dadah jenis syabu dan hasil samun diperoleh dipercayai digunakan untuk belanja harian serta membeli dadah.

Katanya, empat suspek memiliki rekod jenayah termasuk samun dan berkaitan dadah.

"Modus operandi kumpulan itu adalah bergerak menggunakan kenderaan curi sebelum memecah masuk rumah tiada penghuni. Selepas menyamun, mereka meninggalkan kenderaan curi di tepi jalan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X