Isnin, 16 Mei 2016 | 9:15pm

13 barang harga terkawal sempena Kaamatan, Gawai

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua kiri) pada majlis pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2016 di Tawau, sebentar tadi. - Foto Norasikin Daineh
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua kiri) pada majlis pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2016 di Tawau, sebentar tadi. - Foto Norasikin Daineh

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 13 barangan harga terkawal menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2016 sempena sambutan Kaamatan di Sabah pada 30 dan 31 Mei ini.

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai 2016 pula dikuatkuasakan sempena sambutan perayaan itu di Sarawak pada 30 dan 31 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata skim kawalan harga berkenaan dilaksanakan bermula 23 Mei hingga 1 Jun di Sabah, manakala di Sarawak berkuat kuasa 25 Mei hingga 3 Jun.

"Skim ini dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan 13 barangan seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan C, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (harga ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

"Skim ini dilaksanakan supaya pengguna memperoleh barangan keperluan musim perayaan pada harga berpatutan dan menyekat peningkatan harga melampau, selain langkah kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat," katanya selepas pengumuman penentuan harga itu, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh; Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin.

Hamzah berkata, sepanjang skim kawalan harga itu, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan diwajibkan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

Bagaimanapun, katanya, peniaga digalakkan untuk menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya memperoleh barangan terbabit pada harga lebih murah.

Katanya, pegawai penguatkuasa dan pemantau harga KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk pemeriksaan dan pemantauan berterusan sepanjang dua musim perayaan itu.

Berita Harian X