Khamis, 21 April 2016 | 1:25pm

Tiada projek pembangunan dibatalkan di Sabah

KOTA KINABALU: Tiada projek pembangunan oleh kerajaan Persekutuan di Sabah dibatalkan atau mengalami pengurangan kos serta skop pelaksanaannya susulan pengubahsuaian Bajet 2016.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata semua projek yang sudah diumum dan diluluskan akan dilaksanakan dengan fokus kepada program berimpak tinggi serta berkepentingan kepada rakyat.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ini termasuk program pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar seperti bekalan air, elektrik dan jalan serta program infrastruktur, utiliti dan kemudahan awam seperti jalan raya, bekalan air, pembetungan, perumahan mampu milik, kesihatan dan sekolah.

"Projek utama yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, Projek Bas Rapid Transit Kota Kinabalu dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau serta Tawau akan diteruskan.

"Pengubahsuaian hanya dibuat dari segi komitmen aliran tunai dan perbelanjaan berdasarkan kemampuan kementerian serta agensi pelaksana. Kepentingan dan kesejahteraan rakyat akan terus didahulukan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Saddi Abdul Rahman (BN-Sukau) mengenai kesan kepada kerajaan negeri dari segi projek dan kewangan susulan pengubahsuaian Bajet 2016.

Berita Harian X