Ahad, 28 Februari 2016 | 4:18pm

Gotong-royong di penempatan setinggan Sabah

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun (tengah) meninjau aktiviti gotong-royong perdana di penempatan Telipok, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun (tengah) meninjau aktiviti gotong-royong perdana di penempatan Telipok, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan akan memperluaskan aktiviti gotong-royong perdana di semua penempatan setinggan di Sabah bagi meningkatkan kebersihan kawasan terbabit, selain memastikan keselamatan negeri ini berada pada tahap tertinggi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata semua pihak terutama penduduk dan ketua masyarakat di kawasan terbabit perlu memberi kerjasama bagi menjayakan aktiviti berkenaan demi kesejahteraan negeri ini.

Katanya, sejak operasi besar-besaran di penempatan pelarian Filipina dan setinggan di Telipok dekat sini, pada 13 Februari lalu, beberapa program susulan dirancang dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

"Ini termasuk aktiviti gotong-royong yang kita laksanakan hari ini di penempatan di Telipok, susulan operasi besar-besaran pada 13 Februari lalu bagi memastikan keselamatan di Sabah dan kedaulatan negara terjamin.

"Kita tidak mahu ada anasir yang mahu mengganggu gugat keselamatan negara atau cuba mencabar kedaulatan undang-undang kita. Pada masa sama, kita mahu penempatan bersih dan penduduk mempunyai tahap kesihatan yang baik.

"Seperti di Telipok, kita tidak mahu kawasan ini didominasi oleh kumpulan kecil dan kerana itu kita mahu semua pihak bekerjasama memastikan penempatan ini aman serta selamat," katanya selepas aktiviti Gotong-Royong Perdana di Penempatan Telipok, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada aktiviti disertai 1,085 anggota pasukan dan agensi keselamatan bermula jam 8 pagi itu ialah Sukarti; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra.

Sementara itu, Abd Rashid berkata, polis masih menyiasat enam individu termasuk seorang wanita yang ditahan dalam operasi di penempatan pelarian Filipina dan setinggan di Telipok mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Mereka memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Dalam operasi itu, pasukan keselamatan menahan enam suspek warga asing berusia 19 hingga 50 tahun mengikut SOSMA kerana disyaki aktif menyalurkan maklumat dan memberi bantuan kepada penjenayah asing di Sabah.

Berita Harian X