Isnin, 22 Februari 2016 | 4:32pm

Pistol, peluru ditemui dalam pacuan empat roda

KOTA KINABALU: Polis menemui sepucuk pistol bersama 39 butir peluru hidup ketika memeriksa sebuah pacuan empat roda yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Skim Penempatan Telipok, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisoner M Chandra, berkata kenderaan terbabit ditinggalkan dua individu yang melarikan diri sejurus menyedari sepasukan anggota polis menghampiri mereka.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, 18 Februari lalu, polis yang sedang meronda mengesan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan di Jalan Norowot, tidak jauh dari Skim Penempatan Telipok.

"Bagaimanapun, dua invididu berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka ke arah skim penempatan terbabit.

"Namun tidak lama selepas itu, suspek berkenaan meninggalkan kereta mereka di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan berhampiran serta gagal dikesan.

"Pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol jenis Colt .45 diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan sejumlah peluru yang diletakkan di kerusi pemandu," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, polis melancarkan operasi bagi mengesan suspek di kawasan berhampiran pada 18 Februari hingga 20 Februari lalu dan menahan empat lelaki berusia antara 16 tahun dan 25 tahun, termasuk pemilik kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X