Sabtu, 13 Februari 2016 | 2:36pm

Nelayan hilang ditemui lemas di Putatan

SEORANG wanita yang dipercayai ibu mangsa yang dikhuatiri lemas menunggu di tebing laut Taman Teluk Villa, Putatan. - Foto Mohd Adam Arinin
SEORANG wanita yang dipercayai ibu mangsa yang dikhuatiri lemas menunggu di tebing laut Taman Teluk Villa, Putatan. - Foto Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Seorang nelayan yang hilang ketika keluar ke laut sejak petang kelmarin, ditemui lemas di perairan berhampiran Teluk Villa, dekat sini, pagi tadi.

Mayat Wahid Sappani, 69, ditemui Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan operasi mencari mangsa di perairan berkenaan kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Taman Pasir Putih di sini, turun ke laut sendirian untuk menangkap ikan pada kira-kira jam 4 petang kelmarin, sebelum rakannya menemui bot warga tua berkenaan di tengah laut tetapi mangsa tiada di dalamnya pagi semalam.

Sehubungan itu, rakan mangsa menghubungi pasukan penyelamat sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penampang digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin, berkata operasi SAR dijalankan sejak petang kelmarin membabitkan anggota polis, PPM, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Mayat mangsa diserahkan anggota PPM kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Berita Harian X