Selasa, 12 Januari 2016 | 2:36pm

Polis giat buru suspek bunuh janda, anak tiri

GAMBAR suspek yang menikam hingga mati janda dan anak tirinya di Ladang Permodalan 1, dekat sini, semalam. - Foto BERNAMA
GAMBAR suspek yang menikam hingga mati janda dan anak tirinya di Ladang Permodalan 1, dekat sini, semalam. - Foto BERNAMA

KINABATANGAN: Polis mempergiatkan gerakan memburu seorang lelaki berusia 40 tahun yang menikam hingga mati janda dan anak tirinya di Ladang Permodalan 1, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) di samping melancarkan Ops Tutup dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

"Usaha mengesan suspek dibuat sebaik kami menerima laporan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Azura Shima, 39, dan anaknya, Basri Jamaluddin, 24, maut dengan masing-masing ditikam dengan lima tikaman dalam kejadian jam 5.20 pagi di rumah mangsa di ladang berkenaan.

Suspek dipercayai berang selepas hasrat untuk merujuk semula perkahwinan dengan bekas isterinya itu ditolak sehari sebelum kejadian berkenaan.

Berita Harian X