Ahad, 27 Disember 2015 | 1:22pm

700 murid di Kota Belud terima bantuan beg sekolah

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meninjau aktiviti membaiki kasut dan menggunting rambut sempena program Kembali ke Sekolah di pekarangan Majlis Daerah Kota Belud, sebentar tadi. - Foto NSTP
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meninjau aktiviti membaiki kasut dan menggunting rambut sempena program Kembali ke Sekolah di pekarangan Majlis Daerah Kota Belud, sebentar tadi. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Seramai 700 murid sekolah seluruh daerah ini menerima bantuan beg sekolah sempena program Kembali ke Sekolah di pekarangan Majlis Daerah Kota Belud, di sini, pagi tadi.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama UMNO Kota Belud itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Yang turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Datuk Almain Ajirul. Pada majlis itu, Salleh turut menyampaikan peralatan beg sekolah selain murid lelaki mendapat khidmat gunting rambut secara percuma.

Majlis itu antara lain bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah menyediakan peralatan persekolahan anak mereka.

Salleh turut meluangkan masa melawat aktiviti menggunting rambut dan membaiki kasut, selain beramah mesra dengan ibu bapa serta murid penerima bantuan.

Penerima bantuan beg sekolah, Alixsan Sabatang, 6, berkata beg itu akan digunakan untuk persekolahan sesi 2016.

"Saya akan masuk Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2, " katanya yang ditemani ibu, Mainah Ungut, 43.

Pemilik kedai gunting, Bettilla Yahen, 31, berkata program gunting rambut percuma dapat membantu golongan kurang berkemampuan di daerah ini.

"Ini kali pertama saya menyertai program ini dan ia memberi banyak manfaat khususnya kepada mereka yang kurang berkemampuan. Saya dapati ada dalam kalangan anak-anak ini yang tidak pernah gunting rambut di salon sebelum ini, " katanya.

Berita Harian X