Khamis, 25 Mei 2017 | 9:25pm

Kampung Orang Asli Pucur dapat elektrik percuma

PENDUDUK Kampung Orang Asli Pucur gembira apabila menerima manfaat sistem Eco-Balai Rawatan Tenaga Elektrik Solar pada Majlis Perasmian Projek Eco-Balai Rawatan dan Garis Paduan Mudah Penyelenggaraan Sistem Tenaga Elektrik Solar di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang. - Foto Adi Safri
PENDUDUK Kampung Orang Asli Pucur gembira apabila menerima manfaat sistem Eco-Balai Rawatan Tenaga Elektrik Solar pada Majlis Perasmian Projek Eco-Balai Rawatan dan Garis Paduan Mudah Penyelenggaraan Sistem Tenaga Elektrik Solar di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang. - Foto Adi Safri

KLUANG: Kampung Orang Asli Pucur, Kahang, dekat sini, mencatat sejarah apabila menerima bekalan elektrik percuma menerusi projek perintis penyelenggaraan sistem tenaga elektrik solar yang pertama seumpamanya di ASEAN.

Menerusi inisiatif dibangunkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dibiayai Bank Islam Malaysia Bhd, masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jakun yang menetap di kampung terpencil berhampiran Taman Negara Endau-Rompin itu, menerima bekalan elektrik percuma 24 jam sehari dengan dijana cahaya matahari sepenuhnya.

Ketua projek berkenaan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Dr Jasrul Jamani Jamian, berkata inisiatif membangunkan sistem tenaga solar sebagai bekalan elektrik di kampung itu berikutan masyarakat Orang Asli di situ hanya berupaya mendapatkan bekalan elektrik daripada penjana elektrik diesel yang dapat digunakan selama 11 jam sahaja.

Namun kos tinggi hingga RM2,000 sebulan terpaksa ditanggung 150 penduduk orang Asli di situ, selain bekalan elektrik terhad daripada jam 7 malam hingga 6 pagi setiap hari menyukarkan kehidupan mereka.

"Bermula  Ogos tahun lalu, saya bersama dua lagi pensyarah kanan fakulti sama, Dr Zulkarnain Ahmad Noordeen dan Norfatihah Mohd Zaid, mereka cipta satu sistem perintis penyelenggaraan tenaga elektrik solar di balai rawatan di sini.

"Sebanyak 16 panel solar dipasang di balai rawatan itu bagi membekalkan tenaga elektrik secara berterusan selama 24 jam dengan kos RM47,000 yang dibiayai Bank Islam.

"Malah menerusi sistem ini juga orang Asli di sini, diajar secara teori dan praktikal bagaimana untuk menyelenggara sendiri sistem solar yang dipasang supaya ia mampu bertahan sehingga 10 tahun dan ia adalah program pertama seumpamanya yang dilaksanakan di ASEAN.

"Kami juga sudah membentangkan kaedah program perintis penyelenggaraan tenaga elektrik solar Kampung Orang Asli di persidangan tenaga luar bandar peringkat ASEAN dan menerima minat yang tinggi di kalangan negara lain untuk melaksanakan program sama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian projek perintis tenaga elektrik solar di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof Dr Johari Halim Shah Osman, Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Bank Islam Malaysia Bhd, Azmir Abdul Malek dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Wan Assim Wan Sheikh.

Berita Harian X