Ahad, 21 Mei 2017 | 11:17am
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin melawat rumah mampu milik di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Taman Molek di Perumahan Molek Ria, Taman Molek, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin melawat rumah mampu milik di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Taman Molek di Perumahan Molek Ria, Taman Molek, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

688 unit RMMJ akan dibangunkan di Plentong

JOHOR BAHRU: Sebanyak 688 unit membabitkan projek campuran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan rumah kos rendah akan dibangunkan di Plentong, dekat sini, dalam tempoh terdekat.

Projek yang dibangunkan Tanjung Bintang Sdn Bhd (TBSB) itu adalah usaha sama antara YPJ Holdings Sdn Bhd dan Kuok Group dan bakal dibina di atas tanah seluas kira-kira 16.1 hektar.

Foto hiasan
Foto hiasan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan TBSB, Frank SK Goon, berkata daripada jumlah itu, pembinaan RMMJ membabitkan 434 unit, manakala Perumahan Komuniti Johor (PKJ B) sebanyak 186 unit dan 68 unit kedai.

Katanya, setiap unit RMMJ yang berkeluasan 1,000 kaki persegi itu akan dijual pada harga RM150,000 dan PKJ B dengan keluasan 850 kaki persegi pada RM180,000.

"Unit kedai pula dijual pada harga RM212,000 yang berkeluasan 1,200 kaki persegi. Kita jangka projek ini akan dimulakan dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Kita melihat kedudukan projek ini yang strategik lokasinya, selain berhampiran dengan lebuh raya Pasir Gudang mampu memberi keselesaan kepada pembeli kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci RMMJ Perumahan Molek Ria yang dibangunkan TBSB di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Pasir Gudang, di sini.

Projek RMMJ itu membabitkan 640 unit apartmen dan 48 unit kedai kos sederhana disiapkan sepenuhnya pada awal bulan ini selepas kerja pembinaan bermula 29 September 2013.

Apartmen berkeluasan 1,000 kaki persegi itu dijual pada harga RM150,000 manakala kedai kos sederhana (RM212,000).

Berita Harian X