Ahad, 5 March 2017 | 2:22pm

RM850j pembangunan Parlimen Tanjung Piai: MB Johor

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) diiringi Pegawai Daerah Pontian, Onn Jabar (kiri) dan Pengerusi FASPADU, Hamdan Yahya (tiga dari kanan) melihat pelan projek ketika majlis perasmian projek perumahan di Pekan Nenas, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) diiringi Pegawai Daerah Pontian, Onn Jabar (kiri) dan Pengerusi FASPADU, Hamdan Yahya (tiga dari kanan) melihat pelan projek ketika majlis perasmian projek perumahan di Pekan Nenas, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

PONTIAN: Peruntukan berjumlah RM850 juta disalurkan kerajaan Persekutuan dan negeri, bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan termasuk pembinaan jambatan, jalan raya, sekolah agama, masjid dan dewan.

Beliau berkata, RM650 juta peruntukan itu termasuk dari MMC Corporation Bhd bagi tujuan membina jambatan dan kemudahan jalan Tanjung Bin ke Gelang Patah, dekat sini.

Katanya, RM69 juta lagi untuk menaik taraf Jalan Pekan Nenas-Tanjung Piai yang kini memasuki fasa dua.

"Sejumlah RM68.5 juta peruntukan kerajaan Persekutuan pula disalurkan untuk projek naik taraf jalan akses ke kawasan pelancongan Tanjung Piai, selain RM5 juta bagi kerja naik taraf Jalan Johor Bahru-Pontian.

"Pelaksanaan kerja menyelenggara, menaik taraf dan melebar beberapa jalan kampung di kawasan Parlimen Tanjung Piai membabitkan RM19.517 juta," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya ke Parlimen Gelang Patah di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, RM17.32 juta untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) DUN Pekan Nenas, manakala RM6.7 juta lagi untuk projek PPR DUN Kukup.

"Sebanyak RM10.298 juta pula diperuntukkan untuk projek membina sekolah baharu dan sambungan projek tergendala Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) kawasan Parlimen Tanjung Piai.

"Pembangunan lain termasuk membina Jeti Nelayan Kampung Sungai Durian (RM1.25 juta), pembinaan Dewan Muafakat Taman Seri Sentosa (RM3.01 juta) dan pembinaan Dewan Muafakat Tanjung Piai (RM5 juta)

Katanya, RM3 juta akan disalurkan untuk pembinaan dua masjid baharu di kawasan parlimen Tanjung Piai iaitu RM2 juta bagi projek Masjid Kampung Parit Masjid dan RM1 juta untuk Masjid Kampung Parit Semerah.

Berita Harian X