Selasa, 31 Januari 2017 | 6:40pm

Jangan jual jersi JDT palsu - Polis

DATUK Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. Foto Mohd Azren Jamaludin
DATUK Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor memberi amaran kepada peniaga dan orang ramai tidak membekalkan atau menjual jersi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata sejak pelancaran jersi baharu JDT pada 12 Januari lalu, pihaknya dan KPDNKK Johor menerima banyak aduan berhubung kegiatan membekal atau menawarkan jersi yang mempunyai Cap Dagangan Palsu.

Katanya, kegiatan membekalkan dan menawarkan jersi bola sepak JDT yang mempunyai Cap Dagangan Palsu di kedai menjual pakaian, kaunter jualan pasar malam dan menerusi laman sesawang boleh disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).

"Jika membabitkan pertubuhan perbadanan, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda sehingga RM30,000 bagi setiap barangan.

"Bagi orang perseorangan, denda adalah sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihak polis dan KPDNKK Johor menasihatkan dan memberi amaran kepada peniaga atau orang ramai untuk tidak membekalkan atau menawarkan jersi bola sepak JDT yang mempunyai Cap Dagangan Palsu.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membeli jersi sebegini bagi membendung kegiatan berkenaan. Kami akan mengambil tindakan tegas dan mendakwa mereka yang terbabit," katanya.

Berita Harian X