Sabtu, 21 Januari 2017 | 12:16pm

Kayuhan amal Kastam 1Malaysia di Johor meriah

TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Ramlee Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Pengarah Kastam Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi (dua dari kiri) bersama peserta kayuhan ketika Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia di Menara Kastam Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim
TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Ramlee Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Pengarah Kastam Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi (dua dari kiri) bersama peserta kayuhan ketika Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia di Menara Kastam Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Seramai 532 peserta menyertai program 'Fun Ride' Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia yang berlangsung pagi tadi sempena Hari Kastam Sedunia kali ke-35.

Program yang julung kali dianjurkan Persatuan Pegawai Kanan Kastam (PERKASA) itu turut berlangsung serentak di seluruh negara bagi mengumpul dana sumbangan yang akan disampaikan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Presiden PERKASA cawangan Johor, Mohd Nadzir Omar, berkata jumlah peserta itu juga termasuk penyertaan daripada kumpulan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (Bea Cukai) dari Indonesia.

Katanya, semua sumbangan daripada peserta dan tetamu yang hadir hari ini akan diserahkan kepada ibu pejabat di Putrajaya, sebelum diserahkan kepada pihak MAKNA.

"Kayuhan hari ini membabitkan laluan sejauh 27.5 kilometer dengan 532 peserta terdiri daripada individu berusia antara 13 tahun hingga 60-an dan ini satu penyertaan yang amat baik.

"Beberapa aktiviti lain juga turut dianjurkan hari ini, antaranya seperti senam robik, pembukaan 20 gerai jualan, pertandingan melukis untuk kanak-kanak selain penganjuran sukan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara pelepasan peserta kayuhan yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Ramlee A Rahman. Turut hadir, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Datuk Jaafar Mat Jawi.

Berita Harian X