Selasa, 27 Disember 2016 | 12:43pm

4 lelaki didenda RM1,000

LAWRENCE Koh Chee Seng, Roy Carol Masalan, V Nelakandamurthey, dan Khong Khek Luan.
LAWRENCE Koh Chee Seng, Roy Carol Masalan, V Nelakandamurthey, dan Khong Khek Luan.

JOHOR BAHRU: Empat lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta di bawah pengaruh alkohol di bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Roy Carol Masalan, 31; V Nelakandamurthey, 38; Lawrence Koh Chee Seng, 36, dan Khong Khek Luan, 54, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Farizatul Farra Abd Halim.

Mengikut kertas pertuduhan, Nelakandamurthey, Chee Seng dan Khek Luan, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 pagi Ahad lalu di Jalan Stulang Darat di sini.

Roy Carol pula didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.05 malam Sabtu lalu di Jalan Wong Ah Fook di sini.

Semua tertuduh didapati mempunyai paras alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan iaitu 80 miligram (mg) alkohol dalam 100mg darah. 

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM6,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Trafik Johor Bahru, Inspektor Zulkifly Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Berita Harian X