Sabtu, 17 Disember 2016 | 8:30pm

Lebih 1,500 peminat Anuar Zain banjiri Mydin JB

JOHOR BAHRU: Mydin Pelangi Indah, di sini menjadi lokasi terakhir bagi mempromosikan Anuar Zain Album Tour 2016 yang menyaksikan lebih 1,500 peminatnya membanjiri gedung berkenaan, hari ini.

Siri jelajah anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd itu diadakan di lima lokasi, iaitu di Mydin USJ, Mydin Bukit Mertajam, Mydin Meru Raya, Mydin Gong Badak dan Mydin Seremban 2 bermula 9 Oktober lalu yang mana lokasi penganjuran ditaja Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin).

Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Jenama Mydin, Sabariah Mohd, berkata sambutan memberangsangkan itu secara tidak langsung memberi peluang kepada peminat termasuk dari Brunei dan Singapura mendekati penyanyi kesayangan mereka, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain.

Katanya, Mydin sentiasa membuka peluang untuk mengadakan kerjasama dengan anak tempatan selain mengangkat produk tempatan, selari dengan matlamat syarikat mengutamakan produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Sebagai penyanyi terkenal, Anuar Zain sendiri yang menyuarakan hasratnya untuk melakukan promosi albumnya di pasar raya untuk lebih mendekati peminatnya dari segenap lapisan masyarakat.

"Beliau adalah begitu eksklusif dan tidak semua peminat mampu melihat Anuar Zain membuat persembahan, jadi inilah yang dilakukannya.

"Pihak kami amat terharu dengan penerimaan peminat dan menyuarakan terima kasih kepada Mydin kerana membawa Anuar Zain kepada mereka," katanya kepada sidang media selepas Anuar Zain Album Tour 2016 di sini, hari ini.

Sabariah berkata, pihaknya berharap kerjasama itu dapat diteruskan pada masa depan mungkin dengan artis yang lain, yang mana langkah itu juga boleh menarik lebih ramai pelanggan ke pasar raya Mydin.

Katanya, ketika ini terdapat 322 cawangan Mydin di seluruh negara termasuk 24 yang berkonsepkan kompleks beli-belah termasuk di Kuching, Sarawak.

ANUAR Zain beramah mesra dengan peminat pada di Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANUAR Zain beramah mesra dengan peminat pada di Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X