Ahad, 13 November 2016 | 6:22pm

RM1.8j bina jalan ke penempatan baharu di Kampung Nyior

MOHAMED Khaled menyampaikan geran gantian setinggan KTMB kepada penerima di Taman Kluang Indah. Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim
MOHAMED Khaled menyampaikan geran gantian setinggan KTMB kepada penerima di Taman Kluang Indah. Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

KLUANG: Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan bagi membina jalan asas dan menaik taraf lapan lagi jalan rangkaian ke Kampung Nyior, dekat sini.

Kampung berkenaan menjadi penempatan baharu penduduk dari perkampungan setinggan yang dipindahkan bagi memberi laluan pembinaan projek projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pada masa sama, penduduk terbabit menerima wang pampasan kira-kira RM41,000 setiap keluarga dan tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM42,000.

Katanya, peruntukkan pembangunan infrastruktur itu adalah sebahagian daripada bantuan kepada 117 penduduk yang sebelum ini tinggal di tanah rizab milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Penduduk dipindahkan itu membabitkan 47 keluarga setinggan KTMB, manakala 14 keluarga dari tanah rizab KTMB di Batu 2, Jalan Mengkibol dan selebihnya 56 keluarga adalah penduduk Kampung Sathiya," katanya pada majlis penyampaian tapak geran gantian setinggan KTMB, di Kampung Sathiya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Datuk Md Jais Sarday; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; Datuk Ismail Karim; Pegawai Daerah Kluang, Muhamad Fuad Radzuan serta Pegawai Tadbir Tanah Kluang, Mustaffa Kamal Samsudin.

Mohamed Khaled berkata, penduduk yang menerima geran tapak gantian ini juga akan diberikan lot tanah seluas antara 325 meter persegi sehingga 464 meter persegi dengan keluasan keseluruhan kira-kira 19.6 hektar.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya menjaga tanah dan aset yang diberikan kepada mereka supaya memberi manfaat kepada kesejahteraan keluarga.

"Kita harus mengelak daripada mempunyai sebarang niat untuk menjual hartanah ini sebagai jalan mudah mendapatkan sumber kewangan lumayan tanpa memikirkan kegunaannya kepada generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X