Selasa, 18 Oktober 2016 | 1:50pm

JKKP Johor lawat kilang, pantau aspek keselamatan

MUAR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor akan terus menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pengarahnya, Kormain Mohd Noor, berkata selain program berbentuk kesedaran, JKKP Johor akan mengadakan lawatan terus ke kawasan industri bagi memantau aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi dipatuhi semua pihak berkepentingan.

"Antara cabaran dalam menerapkan budaya pencegahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ialah tingkah laku pekerja, majikan dan persekitaran pekerjaan, yang menyumbang kepada berlaku kes kemalangan di tempat kerja.

"Hasil kajian terdahulu juga mendapati kesedaran tingkah laku dalam kalangan majikan dan pekerja hanya pada tahap sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Compliance Support Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Hotel Classic, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Seksyen IKS JKKP Johor, Azman Ahmad dan 55 wakil daripada pelbagai IKS sekitar daerah Muar.

Kormain berkata, penerapan budaya dan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak.

Katanya, bagi tujuan itu, kerajaan turut merangka program strategik iaitu Pelan Induk KKP 2020, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Mei lalu.

Berita Harian X