Sabtu, 1 Oktober 2016 | 4:55pm

Karnival Jom Heboh di JB sasar lebih 350,000 pengunjung

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melawat gerai pameran di Karnival Jom Heboh di perkarangan Angsana Mall, Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melawat gerai pameran di Karnival Jom Heboh di perkarangan Angsana Mall, Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Karnival Jom Heboh di perkarangan Angsana Mall di sini, bermula semalam dan hari ini menyasarkan lebih 350,000 pengunjung termasuk dari Melaka, Pahang dan Singapura.

Siri jelajah Karnival Jom Heboh 2016 yang memasuki lokasi ketiga selepas Stadium Nasional Bukit Jalil pada Julai lalu turut dimeriahkan dengan 35 gerai rakan penaja antaranya seperti The New Straits Times Press (NSTP), Celcom, Watsons, Haval, Massimo, Jacker, PROTON, Nestle dan Dutch Lady.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Kamal Khalid, berkata penganjuran Karnival Jom Heboh di Johor Bahru mendapat penyertaan ramai rakan penaja.

"Kami berbesar hati dan bersyukur dengan kehadiran mereka dalam menambah kemeriahan Karnival Jom Heboh selama dua hari ini.

"Objektif penganjuran adalah untuk meraikan penonton setia saluran rangkaian televisyen Media Prima khususnya TV3 dan TV9, justeru penyertaan rakan penaja seramai ini pasti memberi impak besar kepada pengunjung dengan pakej jualan eksklusif mereka," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, hadir kira-kira jam 9.30 pagi tadi untuk melawat gerai jualan dan pameran di tapak karnival.

Antara pengisian baharu dalam Karnival Jom Heboh di Johor Bahru adalah sesi ramah mesra peserta rancangan realiti Da'i Pendakwah Nusantara yang berlangsung di pentas utama karnival, semalam.

Berita Harian X