Khamis, 15 September 2016 | 2:16pm

Penguat kuasa Kastam mahu cipta nama dalam MBOR

SAHID Selamat, bergambar dengan kakitangan Kastam Johor sebelum memulakan kayuhan Jelajah 1Malaysia menggunakan basikal 'fat bike' di perkarangan Menara Kastam Johor.
SAHID Selamat, bergambar dengan kakitangan Kastam Johor sebelum memulakan kayuhan Jelajah 1Malaysia menggunakan basikal 'fat bike' di perkarangan Menara Kastam Johor.

JOHOR BAHRU: Seorang penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor mahu mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan membuat kayuhan solo sejauh 4,000 kilometer mengelilingi Malaysia.

Sahid Selamat, 52, berkata kayuhan Jelajah 1Malaysia menggunakan basikal 'fat bike' seberat 18 kilogram akan bermula Ahad ini di Kudat, Sabah sebelum berakhir di Kuching, Sarawak pada 4 Oktober ini membabitkan perjalanan sejauh 1,700 kilometer.

Selepas itu, beliau akan menyambung kayuhan mengelilingi Semenanjung sejauh 2,300 kilometer bermula di sini pada 5 Oktober ini selama 25 hari dan menamatkan misinya di bandar raya ini pada 29 Oktober.

"Kayuhan Solo 1Malaysia ini dijangka mengambil masa 43 hari dan saya membuat persediaan secukupnya bagi menjayakan misi ini dan berharap dapat mencipta nama dalam MBOR.

"Tujuan kayuhan ini juga antara lain bagi mempromosi sukan basikal serta memupuk cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau ditemui pada majlis gimik pelancaran Kayuhan Solo 1Malaysia di pekarangan Menara Kastam Johor di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Pengarah Kastam Johor, Jaafar Mat Jawi.

Berita Harian X