Selasa, 9 Ogos 2016 | 9:50pm

KFC sasar RM3.5 juta sumbangan untuk program CSR

SETIAUSAHA Agung PBSM, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd (tiga dari kiri) bersama Pengurus Besar KFC, Sharifah Musainah Syed Alwi (kiri), Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar (empat dari kiri) melayan murid-murid menikmati juadah KFC ketika Program Sarapan Percuma di Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
SETIAUSAHA Agung PBSM, Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd (tiga dari kiri) bersama Pengurus Besar KFC, Sharifah Musainah Syed Alwi (kiri), Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar (empat dari kiri) melayan murid-murid menikmati juadah KFC ketika Program Sarapan Percuma di Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

GELANG PATAH: KFC Malaysia (KFC) menyasarkan kutipan sebanyak RM3.5 juta seluruh negara pada tahun ini bagi memperluas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk sarapan percuma kepada pelajar luar bandar.

Pengurus Besar KFC, Sharifah Musainah Syed Alwi, berkata pada tahun lalu pihaknya berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM3.6 juta menerusi Tabung Penyayang KFC sebelum disalurkan kepada pelbagai pihak yang memerlukan bantuan.

"KFC Malaysia sasar untuk memperoleh lebih tinggi berikutan sumbangan orang ramai menerusi pembelian set hidangan KFC terpilih turut membantu kepada keberkesanan program kemasyarakatan yang diadakan.

"Pihak kami juga dalam usaha merancang memperluaskan skop sumbangan menerusi program Add Hope KFC ini kepada golongan sasar yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Sumbangan Sarapan Percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Datuk Sayed A Rahman.

Sharifah Musainah berkata, pihaknya memperuntukkan RM400,000 bagi membantu pelajar sekolah dan komuniti terpilih di Johor yang secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan silaturahim dan meringankan perbelanjaan harian.

Katanya, menerusi program hari ini, seramai 84 murid SK Ladang Pendas menerima sarapan percuma tajaan KFC menerusi program Add Hope yang dijalankan dengan kerjasama PBSM.

Beliau berkata, menerusi program CSR, mereka berpeluang berkongsi pengalaman bagi menggalakkan hidup secara sihat menerusi pemakanan yang halal.

"Kali ini di Johor, kami mendapatkan bantuan daripada PBSM bagi mengenal pasti kampung untuk anak Orang Asli dengan menumpukan kawasan penempatan Orang Asli di Kampung Pro di Kahang dan Penyabung, Endau Mersing.

Berita Harian X