Ahad, 31 Julai 2016 | 12:35pm

KPRJ serah dividen RM20 juta kepada Kerajaan Johor

KETUA Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff menyampaikan replika cek dividen KPRJ kepada Pegawai Kewangan Johor, Mohd Nasir Abd Salam (kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abdul Rahim
KETUA Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff menyampaikan replika cek dividen KPRJ kepada Pegawai Kewangan Johor, Mohd Nasir Abd Salam (kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abdul Rahim

JOHOR BAHRU: Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd, menyerahkan dividen RM20 juta kepada kerajaan negeri, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Razak Mohd Yusoff kepada Pegawai Kewangan Johor, Mohd Nasir Abd Salam, dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi KPRJ pada Majlis Aidilfitri KPRJ, di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Haji Aziz dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim.

Dalam ucapannya, Abd Razak berkata, penyampaian dividen itu atas semangat muafakat dan sebagai simbolik penghargaan kepada kerajaan negeri yang dipimpin Mohamed Khaled.

"Kami berharap sumbangan ini dapat menzahirkan perasaan KPRJ di atas kepercayaan yang diletakkan kepada kami dalam agenda pembangunan kerajaan negeri.

"Kami berjanji KPRJ tidak akan mengecewakan harapan Menteri Besar dan seluruh kepimpinan Kerajaan Johor, selain memastikan sebarang pembangunan yang diamanahkan kepada KPRJ bukan saja akan dilaksanakan dengan baik mengikut keperluan semasa tetapi turut mengambil kira keperluan di masa depan," katanya.

Abd Razak berkata, KPRJ juga akan terus mengamalkan perancangan pembangunan yang sistematik, terancang dan teratur supaya sebarang program pembangunan mampu dinikmati dalam jangka panjang oleh seluruh rakyat Johor dengan selesa.

Katanya, KPRJ sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandang serius setiap pembangunan yang diamanahkan kerana sedar setiap aspek pembangunan mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai agenda kesejahteraan rakyat.

"Kami berbangga kerana amanah diberikan kerajaan negeri membolehkan KPRJ menjadi ejen penting yang menyumbang secara langsung kepada merealisasikan aspirasi Johor Berkemajuan dalam memakmurkan ekonomi negeri, seterusnya menjadi pemangkin kepada kesejahteraan negeri ini dan rakyatnya," katanya.

Berita Harian X