Jumaat, 9 Jun 2017 | 11:43am

36 penceramah agama perlu mohon kebenaran di Pahang

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman (tengah) bersama Sekretariat NGO Islam Pahang (SNIP) dan Pusat Pengajian Pondok dan Tahfiz Pahang menyatakan sokongan terhadap Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 Seksyen 36 untuk menangani amalan khilafiyah yang didakwa Bid'ah Dhololah atau menyesatkan ketika sidang media di Hotel Shahzan. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Jabatan Mufti Pahang akan mengeluarkan senarai 36 penceramah yang perlu meminta kebenaran pihak berkuasa agama Islam di negeri ini untuk berceramah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, berkata pihaknya menerusi panel dilantik sedang membuat senarai berkenaan sebelum diserahkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama penceramah terbabit pada masa ini dan ia bakal diserahkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

"Panel sudah dilantik dan kita akan siarkan nama orang tidak boleh berceramah di Pahang kecuali mendapat kebenaran...nama tidak disebut (merujuk kepada penceramah yang terkenal tetapi tidak diberi tauliah di negeri lain) pun harus minta kebenaran.

"Mereka kena memohon daripada MUIP dan melalui proses tertentu seperti temu duga bagi mendapat kebenaran," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, pada sidang media itu Sekretariat NGO Islam Pahang (SNIP) dan Pusat Pengajian Pondok dan Tahfiz Pahang menyatakan sokongan terhadap Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 Seksyen 36 untuk menangani amalan khilafiyah yang didakwa Bid'ah Dhololah atau menyesatkan.

Presidennya, Datuk Syed Nasarudin Syed Abdul Hadi, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya sikap buruk dan jahil segelintir pihak yang membidaah, menyesatkan dan mengkafirkan umat Islam yang melakukan amalan khilafiyah antaranya membaca talqin dan membaca Yasin pada malam jumaat.

Berita Harian X