Isnin, 27 March 2017 | 3:46pm

Pameran Kaligrafi Asma ul-Husna diiktiraf dunia

PENGUNJUNG melihat hiasan daripada bunga fabrik pada pameran Hiasan Bunga Fabrik Paling Banyak di Dunia di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
PENGUNJUNG melihat hiasan daripada bunga fabrik pada pameran Hiasan Bunga Fabrik Paling Banyak di Dunia di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila Kaligrafi Asma ul-Husna hasil ciptaannya mendapat pengiktirafan Guinness World of Records sebagai Hiasan Bunga Fabrik Paling Banyak di Dunia.

Hasil kaligrafi 99 nama Allah itu dihiasi menggunakan 32,000 kuntum bunga fabrik dan menarik penyertaan seramai 1,000 termasuk banduan wanita di Penjara Kajang, Selangor untuk menyiapkan hasil tangan berkenaan.

Pengarah Pemasaran Pusat Latihan Kraftangan Epal, Eric Chua, berkata Terengganu menjadi negeri pertama yang dipilih untuk mempamerkan hasil seni kaligrafi yang mendapat pengiktirafan dunia.

Katanya, hiasan kaligrafi Asma ul-Husna ini siap sepenuhnya sejak November tahun lalu sebelum ia mendapat pengiktirafan Guinness World of Records awal tahun ini.

"Hasil seni ini adalah usaha sama pelbagai pihak termasuk pelajar Pusat Latihan Kraftangan Epal, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seni jahitan dan banduan wanita di Penjara Kajang.

"Berdasarkan pelan awal PSJK, kami akan menjelajah ke seluruh negara untuk mempamerkan hasil kerja tangan ini bagi membuka mata rakyat bahawa seni jahitan mampu meraih anugerah tertinggi seperti ini," katanya ketika ditemui di Pasaraya Mydin Mall Gong Badak, di sini, hari ini.

Orang ramai boleh mengunjungi pasar raya berkenaan untuk melihat sendiri hasil seni kaligrafi terbabit bermula hari ini dan berakhir pada 2 April depan.

Selain itu, Eric berkata pameran itu turut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai bidang jahitan kreatif dalam membantu masyarakat menjana sumber pendapatan mereka.

"Pameran ini juga adalah salah satu platform untuk membantu golongan ibu tunggal, orang kelainan upaya, pesara dan suri rumah menjana pendapatan menerusi jahitan untuk membina kehidupan lebih baik," katanya.

Berita Harian X