Sabtu, 18 March 2017 | 4:27pm

Besut hab pendidikan Terengganu

 MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) melancarkan secara simbolik premis sementara Politeknik Besut di Kampung Raja, Besut. - Foto Mohamad Ishak
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) melancarkan secara simbolik premis sementara Politeknik Besut di Kampung Raja, Besut. - Foto Mohamad Ishak

JERTIH: Daerah Besut akan menjadi hab pendidikan utama di Terengganu apabila pelbagai institusi pendidikan yang sedang dan akan dibangunkan di daerah itu menjadi pilihan pelajar negara ini dan luar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pembangunan pendidikan diberi fokus utama oleh kerajaan dalam usaha memberi pendidikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira mereka tinggal di bandar atau luar bandar.

Beliau berkata, ketika ini pelbagai institusi pendidikan dibina di daerah Besut termasuk yang terbaru pembinaan sebuah politeknik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

"Politeknik yang akan dibina bermula akhir bulan ini dengan kos RM180 juta di kawasan seluas 700 hektar ini adalah politeknik ke-34 di negara ini.

"Jika sebelum ini pelajar Politeknik Besut menumpang bangunan politeknik di Kuala Terengganu, tetapi dalam tempoh dua tahun lagi, Politeknik Besut ini akan siap dan mampu menampung sehingga 1,200 pelajar pada satu-satu masa.

"Buat masa ini, Politeknik Besut beroperasi di rumah kedai yang disewa di sini dengan jumlah pelajar tidak sampai 200 orang," katanya selepas merasmikan premis sementara Politeknik Besut di Kampung Raja di sini, hari ini.

Katanya, kampus kekal yang akan dibina di Kampung Bukit Keluang, Besut, apabila siap kelak mampu menampung 1,200 pelajar dan berpeluang mengikuti program berasaskan industri kreatif, termasuk Diploma Kraf Industri dan Diploma Reka Bentuk Fesyen Batik.

Berita Harian X