Ahad, 26 Februari 2017 | 8:31pm

Bukit Fraser kekal sedia ada

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

RAUB: Kerajaan Pahang tidak akan menambah pembangunan baharu di Bukit Fraser bagi memastikan kawasan tanah tinggi itu kekal sebagai aset semula jadi berharga untuk generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ia juga bagi mengekalkan habitat semula jadi burung migrasi di kawasan berkenaan.

"Kita tidak akan melakukan pembangunan baharu di sini supaya ia kekal dengan struktur alam semula jadi yang terjaga... jika ada pun projek pembangunan dilakukan, ia hanya untuk menambah baik kemudahan sedia ada.

"Kita mengehadkan pembangunan di sini kerana ia adalah destinasi terkenal dengan aktiviti mengenal burung yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, " katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Acara Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Ke-30 di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, pihaknya turut menolak rancangan projek pembinaan kereta kabel dari Raub ke puncak Bukit Fraser kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada alam semula jadi.

"Projek berkenaan tidak sesuai dijalankan kerana kawasan tanah tinggi ini tidak boleh menampung kapasiti yang tinggi, selain akan memusnahkan keindahan semula jadi sedia ada.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan negeri baru-baru ini dan kita ambil keputusan menolak perancangan untuk bina kereta kabel di Bukit Fraser," katanya.

Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan mengadakan Program 'Music on the Hill' pada 22 dan 23 April depan, di Bukit Fraser yang bakal menampilkan pemuzik dari dalam dan luar negara dalam usaha merancakkan Tahun Melawat Pahang 2017.

Berita Harian X