Selasa, 24 Januari 2017 | 7:31pm

JPNK, PGA operasi bersama setahun 

PENGARAH JPNK, Datuk Zahari Ibrahim. - Foto Zaman Huri Isa
PENGARAH JPNK, Datuk Zahari Ibrahim. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) akan melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Perhutanan bersama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan selama setahun, mulai tahun ini.

Ia antara usaha mencegah pencerobohan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan pembalakan haram yang menyalahi Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Pengarah JPNK, Datuk Zahari Ibrahim, berkata langkah itu diambil susulan operasi bersepadu selama seminggu pada Disember tahun lalu.

Katanya, beberapa kejayaan awal dicapai dengan bantuan PGA dan PDRM membabitkan lima kes tangkapan enam individu merangkumi empat kes pencerobohan di Hutan Simpan Ulu Galas dan satu kes kilang haram.

Katanya, semua kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

"Mulai 13 Januari lalu menerusi konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kami mendapat kebenaran Batalion 8 PGA Kelantan untuk melaksanakan operasi bersama selama setahun.

"Ini menunjukkan komitmen JPNK dalam menguatkuasakan Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dalam aspek pengawalan pencerobohan kawasan HSK dan membanteras aktiviti pembalakan haram di negeri ini.

"Ia termasuk operasi di beberapa kawasan hitam merangkumi kilang haram yang menyumbang kepada aktiviti pembalakan haram," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengenai operasi meroboh sekatan dibina penduduk Orang Asli di Simpang Petei dan Pos Tohoi kelmarin, Zahari berkata, ia adalah langkah susulan berikutan masih ada sebahagian masyarakat Orang Asli melanggar amaran dikeluarkan JPNK pada 29 November tahun lalu.

Katanya, dalam operasi bersepadu PGA, PDRM dan JPNK, lima lelaki Orang Asli lelaki ditahan kerana disyaki menjadi dalang mendirikan sekatan dan pondok secara haram di kawasan HSK Balah.

Berita Harian X