PERMAISURI: Seorang peniaga terkejut apabila mendapati kenderaan pacuan empat roda miliknya hilang di Kampung Pak Kancil, sewaktu membuka kedai seperti biasa untuk memulakan perniagaan pada kira-kira jam 6.30 pagi, semalam.
Fairol Amiruddin Mustaffa, 25, berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan Mitsubishi Pajero yang diletak di depan kedai itu dicuri sekitar jam 3.45 pagi ketika dia bersama isteri dan anak sedang tidur di dalam.
"Suspek dilihat menghampiri kenderaan itu pada jam 3.45 pagi dan membawa lari Pajero itu bersama beberapa individu lain dalam tempoh 10 minit. Kami tidak menyedari kejadian itu kerana pada waktu itu, hujan lebat dengan angin kencang," katanya.
Susulan kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu pada jam 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
"Kami giat melancarkan gerakan memburu suspek dan mengesan kenderaan yang dicuri itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan terbabit boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.