Jumaat, 20 Januari 2017 | 9:54pm

Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 dilancar

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menghadiri Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP27) di pekarangan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan, sebentar tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menghadiri Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP27) di pekarangan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan, sebentar tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Majlis Pengisytiharan Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP27) disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di pekarangan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, sebentar tadi.

Tengku Abdullah bertitah, meminta semua agensi kerajaan dan pihak yang terbabit dalam industri pelancongan mengambil peluang penganjuran TMP17 untuk mencapai sasaran ditetapkan iaitu 15 juta pelancong tahun ini.

"Beta berharap semua pihak memainkan peranan dalam memperkenalkan dan mempromosikan negeri Pahang dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Bagi mereka yang bertanggung jawab memastikan keselesaan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini... pastikan infrastruktur disediakan dalam keadaan baik.

"Jaga kebersihan di lokasi tumpuan pelancong bagi mengelak masalah penyebaran penyakit berjangkit... contohnya, penyakit kencing tikus yang dikhuatiri boleh mengakibatkan pelancong tidak berminat untuk ke sini," titah baginda.

Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan majlis berkenaan. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Kementerian dan Pelancongan Malaysia negeri, Tourism Malaysia Pahang dan Lembaga Pembangunan Tioman bermula jam 8 malam.

Majlis dimulakan dengan persembahan kebudayaan membabitkan 120 penari yang memaparkan kebudayaan dari 11 daerah di negeri ini selama 45 minit oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri memukau pengunjung.

Kemuncak majlis itu persembahan interaktif digital menggabungkan animasi dan manusia menampilkan olahragawan negara yang juga anak jati Pahang, Mohd Al Jufri Jamari.

Artis terkenal tanah air, Dafi, Rosma AF, Roslan Madun, Ameng, Ippo Hafiz, Naz dan Arif Kilauan Emas turut membuat persembahan pada majlis berkenaan. Turut menyerikan majlis berkenaan, persembahan tarian tradisional Pahang oleh kumpulan Anak-Anak Semantan.

Berita Harian X