Selasa, 10 Januari 2017 | 3:44pm

Aplikasi Visit Pahang dilancar esok

KUANTAN: Tourism Malaysia Pahang akan melancarkan aplikasi percuma `Visit Pahang' yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan sektor pelancongan di 11 daerah di negeri ini, bersempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017, malam esok.

PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokthar.
PENGURUS Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokthar.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokthar, berkata majlis pelancaran itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, yang akan memudahkan pelancong dalam dan luar negara untuk mendapatkan maklumat secara menyeluruh termasuk penginapan, produk pelancongan, restoran dan kafe serta pengangkutan.

Beliau berkata, maklumat di hujung jari mengenai sektor pelancongan di Pahang itu juga dapat membantu menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena TMP kali ini.

Katanya, pelancaran aplikasi itu juga membantu pihaknya membuat promosi besar-besaran di media sosial berkaitan aktiviti pelancongan yang terdapat di seluruh daerah seterusnya mencapai sasaran 15 juta pelancong sempena TMP 2017 tahun ini.

"Tahun lalu, seramai 12 juta pelancong berkunjung ke Pahang dan dengan promosi besar-besaran yang dilakukan Kerajaan Pahang dan sokongan daripada pengusaha pelancongan, sasaran 15 juta pelancong tercapai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X