Selasa, 1 November 2016 | 6:34pm

JAIP galak orang ramai ikuti seminar pengurusan jenazah

PEKAN: Persatuan komuniti taman perumahan di negeri ini perlu mengadakan lebih banyak seminar pengurusan jenazah bagi meningkatkan pengetahuan ahli masing-masing.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, ilmu dan pengetahuan yang mereka miliki adalah fardu kifayah bagi membantu mereka terutama daripada golongan berpendapatan rendah.

Ini berikutan, katanya, perbelanjaan menguruskan jenazah antara RM1,000 hingga RM3,000 oleh syarikat profesional mungkin membebankan ahli keluarga daripada golongan berkenaan.

Beliau berkata, adalah wajar bagi persatuan komuniti menyediakan seminar pengurusan masjid supaya lebih ramai individu di taman perumahan atau perkampungan mahir dan berpengalaman dalam menguruskan jenazah.

"Kebanyakan mereka sebenarnya mengambil sikap tidak ambil tahu dan tidak peduli walaupun berminat untuk membantu mengurus jenazah kerana menganggap tugas itu tanggungjawab imam, pegawai masjid serta badan khairat kematian.

"Tidak ramai individu mampu atau sanggup menguruskan jenazah kerana pelbagai faktor seperti takut melihat mayat selain kepercayaan yang bertentangan dengan agama. Saya berharap penduduk kampung dan taman perumahan dapat mengurus jenazah bermula memandikan, mengkafankan, solat sunat jenazah dan mengebumikan secara bersama.

"Selain menjimatkan perbelanjaan ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan dikalangan keluarga termasuk penduduk setempat," katanya pada Seminar Pengurusan Jenazah JAIP di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Seminar sehari itu disertai lebih 1,000 peserta yang membabitkan teori dan latihan amali bagi memberi lebih kefahaman kepada peserta mengenai pengurusan jenazah.

Berita Harian X